Warning: file_get_contents(http://s3.amazonaws.com/browscap/autoload.txt): failed to open stream: HTTP request failed! HTTP/1.1 403 Forbidden in /home/arram6/public_html/wp-content/plugins/wp-slimstat/browscap/browser.php on line 73
Memanah dengan mata-hati - Arramy Achership Supply

Memanah dengan mata-hati

| September 26, 2013 | 14 Komen

in the name of God, the supremely merciful, the most kind
Memanah dengan mata-hati juga dikenali sebagai memanah instinktif/naluri/gerak-rasa. Ini adalah bentuk memanah yang asal seperti mana cara memanah manusia di peradaban awal sebelum terciptanya busur-busur dan kaedah memanah moden berbantuan pejera optik. Nama-nama yang diberikan ini, tidak lain hanya bertujuan membezakan teknik memanah ini dengan teknik memanah moden.

Teknik memanah dengan mata-hati tidak bercanggah dengan teknik memanah moden bahkan kedua-duanya adalah bersifat komplementari. Untuk memberi kefahahaman mudah, memanah dengan mata-hati adalah bentuk memanah moden yang lebih rumit dan sukar; dengan menanggalkan alat pejera optik dan penetap panjang tarikan seperti clicker dan hanya bergantung kepada naluri; melalui penyelarasan memori otot dan panca-indera untuk memanah anak panah ke sasaran.

Semasa memanah, pemanah dengan mata-hati yang sebenar memandang tepat kepada sasaran dengan sepenuh tumpuan, tidak menyepetkan sebelah mata, tidak melihat unjuran arah anak panah, tidak merujuk kepada kepala anak panah dan tidak memanah secara jangkaan ke kanan atau ke kiri untuk membetulkan paradoks panahan. Pemanah dengan mata-hati yang sebenar hanya tahu panahannya pasti menuju ke sasaran.

Jangan terkeliru dengan terma ‘teknik memanah dengan mata-hati’ dengan ‘teknik memanah tradisional’, kerana yang awal itu merujuk kepada kaedah sedangkan yang kemudian itu pula merupakan jenis-jenis gaya memanah. Namun begitu, semua jenis gaya memanah tradisional pada umumnya adalah juga merupakan teknik memanah dengan mata-hati.

Kesilapan terbesar pemanah-pemanah tradisional adalah gagal menghayati ilmu sains seni panah dan terjun ke dalam sukan memanah beranggapan memanah dengan mata-hati adalah automatik dan ringkas berbanding memanah moden, walhal yang sebenar adalah sebaliknya. Falsafah, konsep dan sains di sebalik kedua-duanya adalah sama, walaupun yang satu itu hanyalah pecahan dari keseluruhannya. Prinsip-prinsip fizik trajektori panahan, pengiraan berat dan kelenturan batang panah, sifat aerodinamik anak panah, momentum dan penetrasi kepala panah, daya tujahan, refleks, panjang tarikan optimum dan jarak panahan busur; semuanya adalah tetap sama. Yang membezakan antara keduanya hanyalah kaedah moden telah menghapuskan penggunaan deria dalaman manusia dan hanya menumpukan kepada faktor fizikal dan deria luaran.

Memanah dengan mata-hati tidak seringkas me’lempar’kan anak panah ke sasaran. Memanah dengan mata-hati tetap melibatkan proses mengambil kekuda, mencagak , menarik sambil membidik dan melepaskan anak-panah. Cuma sesetengah proses ini, berlaku dengan cepat, spontan dan hampir serentak apabila seseorang itu mahir dengan teknik ini. Untuk mahir akan mengambil masa latihan bertahun-tahun, kerana kaedah memanah dengan mata-hati adalah mudah dipelajari tetapi sangat sukar untuk dikuasai.

Teknik memanah dengan mata-hati adalah teknik panahan yang tinggi, tetapi ada teknik memanah yang lebih tinggi.

Memanah instinktif

Teknik Memanah yang Tertinggi

Firman Allah;

“Maka (hakikatnya) bukanlah kamu yang membunuh mereka tetapi Allah jua yang membunuh mereka. Dan bukan kamu yang memanah ketika kamu memanah tetapi Allah jua yang memanah. Dan Dia hendak menguji orang yang beriman dengan ujian yang baik daripada-Nya. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (17).”

Surah Al-Anfal (Harta Rampasan Perang)

Inilah kemuncak ilmu seni panah, yang membawa ke syurga. Ramai yang beranggapan apabila mereka memanah dengan mata-hati mereka juga telah memanah dengan teknik ini. Jadi teknik ini sangat ramai yang berkhayal mereka telah melalui dan mencapainya.

Ketahuilah panahan burukmu yang selalu tersasar itu bukanlah panahanNya.

Bersabda Rasulullah SAW:
“Ya Hayyu Ya Qayyum! Demi Rahmatmu aku memohon perelokkanlah bagiku segala urusanku, dan jangan biarkan aku kepada diriku walaupun untuk sekelip mata.”
Hadith riwayat Al-Hakim

Teknik panahan terunggul ini adalah semata-mata anugerah dariNya, tetapi ada jalan yang membawa ke sana, iaitu melalui jalan I’tiqad dan mujahadah. Jalan ini adalah jalan tauhid, jalan ihsan, jalan di mana sang hamba bersungguh-sungguh memohon cahaya petunjuk dan hidayahNya dan telah meninggalkan hawa-nafsu dan dirinya, dan menyerahkan jiwa dan rasa kepunyaan ke dalam genggamanNya. Ketahuilah jalan ini ada pada jalan jihad, seumpama pada suatu saat penentu, apabila masa bergerak dengan sangat perlahan, DIA menyentuh dan membawa anak panahmu kepada musuhmu. PanahanNya mengubah potensi kemenangan di dalam perang yang muktamad dan membantu kekasih-kekasih pilihanNya.

Lalu bagaimanakah hendak mendapat pimpinanNya pada panahanmu, arakian seperti itu jugalah mendapatkan pimpinanNya pada kehidupan seharianmu.

Seumpama jalan zikrullah, dengan sentiasa mengingatiNya dan memohon petunjuk dan hidayahNya. Seumpama jalan zikrullah, dengan meninggalkan pintu syirik, pintu nifaq, pintu maksiat, pintu hawa dan pintu dirimu. Maka ketika itulah kamu bersama Dia. Kerana Dia tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang berbuat kezaliman, juga orang-orang yang mengikuti hawa-nafsu.

Dalam zikrullah itu ada rasa, ada lafaz dan ada pergerakan. Zikrullah itu adalah hizb harianmu, dalam tidur dan bangun, dalam gerak dan diam, dalam ibadatmu juga hiburmu, apa sahaja yang dirimu lakukan kerana Dia dan untuk bersama Dia.

‘Meninggalkan dirimu’ – analogi dalam amalan zikrullah dan seni memanah.

Dalam amalan zikrullah martabat ihsan, ‘meninggalkan diri’ bermaksud meninggalkan segala rasa pemilikan kekuatan, kemampuan, rasa benar, rasa tahu dan seterusnya dari dalam diri dan meyakini pemilikan yang sebenar hanyalah oleh yang Haq. Ia juga bermaksud meninggalkan segala sifat dan tabiat buruk; ‘ujub, takabbur, riya’, silap, salah dan lain-lain keburukan dan kejelikan dari yang terang dan tersembunyi berpunca dari hawa nafsu. Selepas dari itu barulah, diri dapat bersama Dia, dengan pimpinanNya pada jalan yang lurus.

Apabila diertikan kepada seni memanah, amalan seni panah terunggul adalah bentuk latihan untuk menyediakan anggota diri memanah bersamaNya, dengan memperelok pergerakan dan memperbaiki pada yang ralat dan melencongkan. Jalan kepada menghampiri panahanNya adalah melalui gabungan disiplin latihan fizikal dan kerohanian; dengan meletakkan I’tiqad yang sebanding pada setiap pergerakan panahan. Adalah penting untuk mengetahui apakah pergerakan yang betul dan dikehendaki, supaya dapat diyakini bahawa itu adalah dariNya. Sedemikian juga adalah penting untuk mengetahui apakah pergerakan yang salah dan ralat, dari diri yang tidak sempurna, supaya dapat ditinggalkan dan diperbaiki sebelum ia menjadi tabiat dan kebiasaan.

Seperti-mana dirimu tidak akan bersama denganNya sebelum engkau meninggalkan keburukanmu, seperti itulah juga Dia tidak memanah untukmu sebelum engkau meninggalkan apa yang melencongkan panahanmu.

Kaedah latihan memanah moden menitik-beratkan konsistensi pada pergerakan dan kepentingan penggunaan otot yang betul untuk menghapuskan faktor ralat manusia semasa memanah. Rejim latihan pemanah-pemanah moden adalah lebih maju, komprehensif dan terbukti berkesan dalam aspek ini. Perhatikan bagaimana atlet-atlet memanah sentiasa mempunyai dimensi (panjang, arah dan laluan) tarikan, penjangkaran (anchoring) dan pergerakan sendi-sendi penting pada kedudukan YANG TETAP secara lancar tanpa tersekat-sekat. Pergerakan –pergerakan ini sebenarnya dapat diringkaskan sebagai kaedah penetapan fungsi memori otot.

Penetapan memori otot adalah kunci kepada panahan yang baik, bermula dari tarikan anak panah yang lancar pada pergerakan yang lurus dan paling ringkas. Pada saat mencapai tarikan penuh, mata-hati terbuka secara maksimum untuk seketika untuk menghalakan arah panahan secara jitu dan tepat. Semasa panah dilepaskan, tiada lagi pergerakan untuk seketika, saat ini segalanya terhenti-mati sehingga anak panah tembus ke sasaran.

Malangnya penetapan memori otot, memerlukan istiqomah pada disiplin latihan yang berterusan dan mengambil masa yang panjang, dengan mengulangi pergerakan yang sama secara konsisten. Ia hampir sama dengan fungsi memori otak, ianya sesuatu yang boleh dilupai atau menjadi tumpul, menjadikannya sesuatu yang perlu sentiasa diasah dan diamalkan. Ada hadith yang melarang keras meninggalkan sukan memanah setelah mempelajarinya, disebabkan ia dikira sebagai meninggalkan amalan sunnah dan menyebabkan hilangnya kemahiran yang amat penting.
pemanah-berkuda

Difailkan dalam: Artikel
×

14 Komen kepada "Memanah dengan mata-hati"

Trackback | Suapan RSS Komen

  1. akhma says:

    mohon share yer admin… 🙂

  2. NurMuhammad says:

    Mohon copy and share

  3. wan says:

    ada bukak kelas memanah tak di johor bahru? maksud sy seperti konsep yg diterangkan di atas

    • Arramy Arramy says:

      Belum ada secara khusus, tapi kalau ada kesempatan saya datang berlatih bersama sesi latihan kumpulan Rimayah Al-Ansar di Seri Alam yang diadakan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad. Ada juga poin dan tip yang dikongsikan.

  4. syah says:

    (“,) artikel yang sangat baik..

  5. cguarif says:

    Perkongsian ilmu yg sangat bagus!
    “Sharing is Caring”
    Semoga ramai yang menyedari kepentingan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW.. amin..

  6. syakir says:

    Perkongsian yg sangat bagus,..sye bru mula nk main memanah..niat kerana sunnah

  7. wan hanafee says:

    bila dapat belajar memanah

  8. Tuan, konsep ‘Instinctive Shooting’ dalam memanah secara tradisional memang sudah lama diterima kita. Tapi pada saya, terasa seperti ada sesuatu yang lebih daripada ‘instinctive’, iaitu, konsep atau teknik ‘Referential Shooting’. Pada saya, sebenarnya tak ada teknik menembak dengan mata-hati. Setiap kali kita kata kita memanah melalui mata-hati, sebenarnya, kita memanah dengan merujuk kepada kedudukan dan arahan ‘shaft’ atau ‘point’ anak panah. Pemanah melakukan ini dengan begitu pantas sekali (akibat bertahun2 berlatih). Memanah secara mata-hati ialah bila kita tutup kedua2 belah mata dan kemudian memanah. Kalau kena sasarannya maka itu barulah dikatakan memanah dengan mata-hati. Bagaimana pandangan tuan?

    • Arramy Arramy says:

      ‘Referential shooting’ itu hanya sebahagian komponen memanah secara instinktif, melalui proses ‘merasa’ kedudukan dan arah trajektori anak panah, berbanding dengan melihat dengan mata. Kedudukan kepala anak panah dirujuk dengan ekor mata relatif kepada sasaran, tanpa perlu melihat keseluruhan gambaran laluan batang panah.

      Memanah dengan mata hati, bermaksud meringkaskan proses yang terlibat semasa memanah, supaya panahan lebih cepat dan tepat, kerana tubuh badan kita sebenarnya amat berdaya tinggi dan tidak memerlukan pengesahan dari anggota deria sebaik sahaja kita telah ‘tahu’, atau telah mengalami perkara yang hampir serupa.

      Kenapa memanah dari mata hati? Kerana kesinambungan dari memanah dari mata hati, adalah bermaksud mencapai peringkat memanah yang lebih tinggi dan amat kompleks, dengan mengolah kedudukan setiap anggota badan dan pergerakan semasa panahan sebagai satu bentuk ritual, untuk menyediakan dan memudahkan sang pemanah kepada penyerahan mutlak kepada Al-Malik, Dia yang maha Memiliki segala sesuatu, melalui pemusatan tumpuan dan kebergantungan kepada anggota hatinya. Memanah dengan mata hati, bermaksud memanah bersama sentuhan dariNya, dengan dalil kerana Allah memegang hati orang-orang yang beriman, dan bukan anggota badan yang lain. Ini adalah teknik memanah orang Islam dan sekadar penerangan yang ringkas.

      Disebabkan mata adalah satu anggota penting untuk memanah, untuk menutup keduanya semasa memanah adalah tidak bermanfaat.

  9. akhi adnan says:

    Salam tuan… Boleh tak tunjukkan hadis yg melarang meninggalkan memanah untuk saya buat rujukan…

    • Arramy Arramy says:

      wsalam

      Dari ‘Abdurrahman bin Syimamah bahwa Fuqaim al-Lakhmi berkata kepada ‘Uqbah bin ‘Amir r.a, “Untuk apa engkau mondar mandir antara dua sasaran ini sementara engkau sudah berusia lanjut lagi pula hal itu sangat menyusahkanmu?” ‘Uqbah berkata, “Kalau bukan karena perkataan yang aku dengar dari Rasulullah saw. niscaya aku tidak melakukannya!”

      Al-Harits berkata, “Aku bertanya kepada Ibnu Syimamah, perkataan apa itu?” la menjawab, ‘Uqbah berkata, “Barangsiapa mahir memanah kemudian ia meninggalkannya, maka ia bukan dari golonganku atau ia telah berbuat durhaka,” (HR Muslim 1919)

Hantar Komen Anda